Monday, December 16, 2013

Kata Aluan Guru Besar SK Alai 2014

KATA ALUAN GURU BESAR SK ALAI, MELAKA HAJI ADAM BIN MD DALI Bismillah-ir-Rahman-ir-Rahim, Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Pertama-tamanya, marilah kita melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya, dalam tahun yang berbahagia ini kita dapat bersama-sama berusaha merealisasikan visi dan misi SK Alai untuk menjadi sekolah yang unggul menjana transformasi pendidikan. Dalam memantapkan bidang pendidikan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 transformasi pendidikan ini melibatkan tiga gelombang atau fasa yang mengambil masa tiga belas tahun bermula tahun 2013-2025. Proses transformasi yang terancang ini memberi satu lagi cabaran kontemporari buat dunia profesion perguruan dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi menghadapi cabaran abad ke-21. “Quality teaching produces quality learning. Quality learning produces quality education. Finally quality education produces quality citizens.” Tema ini masih relevan dan kekal relevan untuk masa-masa akan datang. Tambahan pula kualiti adalah ibarat perjalanan, bukan distinasi; perjalanan yang tiada noktahnya. Quality has no ends: it is a journey, not a distination. Cabaran pendidikan alaf baru kini semakin bertambah. Walaupun kita telah berjaya membina suatu sistem pendidikan yang amat dibanggakan, perkembangan politik dan ekonomi global menuntut satu sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia. Persaingan pasaran kerja sangat sengit. Persaingan ekonomi peringkat global pula semakin kompetatif. Oleh itu, kualitilah yang bakal menentukan sama ada kita berjaya dalam persaingan tersebut atau sebaliknya. Pendidikan yang berkualiti banyak ditentukan oleh pihak guru. Jika kualiti guru dapat ditingkatkan ke tahap yang cukup tinggi, pastilah pendidikan kita dapat mencapai tahap gemilang, InsyaAllah. Impak daripada sistem pendidikan yang dirancang pada masa ini hanya akan dapat diukur selepas tahun 2020. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab para pendidik berusaha untuk meletakbetulkan (reposition) dan merekaraya (reengineer) sistem pendidikan supaya berkualiti dan berjaya melahirkan modal insan mengikut acuan kita sendiri. Dalam konteks untuk merealisasikan perubahan ke arah membina dan membangunkan modal insan yang gemilang, seseorang pendidik itu seharusnya kaya ilmu, segar dan subur ciri kependidikannya malah harus memiliki ciri-ciri kepimpinan yang berupaya membawa perubahan atau dalam konteks teoritisnya dinamakan kepimpinan transformasional. Akhir kata, kepada semua warga pendidik sekolah ini, budi dan pengorbanan cikgu-cikgu yang dicurahkan kepada anak didik di sekolah ini amat dihargai dan sangat disanjung tinggi. SELAMAT MENJALANKAN TUGAS. TERIMA KASIH CIKGU.

No comments:

Post a Comment